Filled Under:

SPM 2009 BAHASA MELAYU KERTAS 2 : SOALAN 1


SOALAN 1 :RUMUSAN

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan tidur dari segi saintifik dan cara-cara mengatasi masalah sukar tidur. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melehihi 120 patah perkataan.




Pernahkah sekali-sekala anda berasa otak lebih lembap dan sukar untuk berfikir? Pernahkah anda mengalami keadaan yang merimaskan terutama apabila sukar memberikan tumpuan kepada kerja ataupun pelajaran? Kajian menunjukkan bahawa masalah sukar menumpukan perhatian dan kelembapan otak ini ada kaitannya dengan faktor tidur.
Setiap orang memerlukan masa tidur yang berbeza mengikut umur, tahap kesihatan dan aktiviti hariannya. Misalnya, golongan remaja memerlukan tidur antara enam hingga lapan jam sehari. Tidur yang paling berkualiti ialah tidur pada waktu malam. Tidur amat penting bagi melancarkan proses metabolisme karbohidrat di dalam badan. Melalui proses ini, badan seseorang mengeluarkan hormon pertumbuhan yang berfungsi untuk membaiki sel-sel yang rosak. Kajian mendapati bahawa tidur yang cukup mampu meningkatkankeupayaan untuk belajar dan membantu dalam memelihara daya ingatan seseorang. Selain itu, proses penyimpanan maklumat di dalam otak juga berlaku semasa tidur. Oleh itu, mereka yang sering tidur lewat, seperti murid yang mengulang kaji pelajaran sehingga lewat malam, akan menyebabkan proses penyimpanan maklumat terganggu. Kurang tidur juga mengakibatkan tumpuan seseorang dalam membuat keputusan dan perancangan terjejas. Menurut kajian, kebanyakan kemalangan yang berlaku di tempat kerja dan di jalan raya ada kaitannya dengan tumpuan yang terganggu akibat faktor kurang tidur.
Tidur memantapkan sistem ketahanan dalam badan seseorang. Hal ini demikian kerana seseorang yang tidur kurang daripada kadar biasa akan mengalami tekanan dan melemahkan ketahanan badan sehingga menyebabkan mudah dijangkiti penyakit. Menurut pakar, badan kita mempunyai pusingan biologi yang tetap. Pusingan biologi ini aktif pada waktu siang dan kurang aktif pada waktu malam. Oleh itu, bagi memulihkan pusingan biologi dalam badan, kita perlu tidur secukupnya. Tidur yang tidak mencukupi akan menjejaskan pusingan biologi seseorang.
Selain tidur pada waktu malam, amalan tidur seketika pada waktu tengah hari dapat menyegarkan tubuh badan, sekali gus meningkatkan produktiviti. Kajian juga menunjukkan bahawa tidur secara rutin selama 30 minit pada waktu tengah hari dapat mengurangkan risiko sakit jantung. Walau bagaimanapun, seseorang tidak digalakkan tidur selepas matahari terbit dan pada waktu lewat petang. Hal ini demikian kerana menurut pakar, tidur pada waktu-waktu tersebut boleh menjejaskan kesihatan. Tidur yang cukup pada waktu yang sesuai merupakan komponen penting bagi mendapatkan kesihatan yang baik.

(Dipetik dan diubah suai daripada `Tidur dari Segi Saintifik' oleh Danial Zainal Abidin, Dewan Kosmik, Februari 2007)


Petikan Dari Kertas Soalan

Cadangan pengenalan rumusan

Petikan membincangkan kelebihan/ faedah/ kebaikan/ manfaat tidur dari segi saintifik.
Ulang perkataan kepentingan = 0 markah


Cadangan isi tersurat : kepentingan tidur dari segi saintifik.

1.Tidur amat penting bagi melancarkan proses metabolisme karbohidrat di dalam badan.

2.Tidur yang cukup mampu meningkatkan keupayaan untuk belajar dan

3.Tidur dapat membantu dalam memelihara daya ingatan seseorang.

4.Tidur memantapkan sistem ketahanan dalam badan seseorang.

5.Tidur dapat memulihkan pusingan biologi dalam badan.

6.Tidur dapat menyegarkan tubuh badan,

7.Tidur dapat meningkatkan produktiviti.

8.Tidur dapat mengurangkan risiko sakit jantung..

9.Tidur merupakan komponen penting bagi mendapatkan kesihatan yang baik.

Cadangan isi tersirat : Cara-cara mengatasi masalah sukar tidur

1.Jangan mengambil minuman yang mengandungi kafein seperti kopi.

2.Mendapatkan khidmat kaunseling daripada kaunselor profesional jika mengalami masalah stres.

3.Mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersukan.

4.Mendapatkan ubat-ubatan yang disyorkan oleh pakar perubatan.

5.Elakkan daripada menonton televisyen hingga larut malam.

Kesimpulan :
Semua orang perlu tidur secukupnya agar dapat melahirkan individu yang sihat dari segi fizikal dan mantap dari segi emosi dan mental.






0 komen:

Post a Comment